Bab 5 Pembahagian Sel
Nota Mitosis
- Sel badan organisma boleh dibahagi kepada sel soma dan sel gamet.
- Sel soma terhasil melalui proses mitosis manakala sel gamet terhasil melalui
proses meiosis.
- Bilangan kromosom yang terdapat dalam sel soma sesuatu organisma sentiasa
tetap. akan tetapi, sel soma bagi organisma berlainan mengandungi bilangan
kromosom yang tidak sama. Misalnya, sel soma jagung mempunyai 20 kromosom
dan sel soma bari-bari mempunyai 8 kromosom.
- Bilangan kromosom dalam setiap sel soma dikenali sebagai diploid iaitu setiap
sel mengandungi dua set kromosom atau 2n. Bilangan kromosom diploid atau 2n
dalam sel soma manusia ialah 46.
- Sel gamet atau sel pembiakan pula mengandungi hanya satu set kromosom atau
haploid (n) di dalam setiap sel. Jadi bilangan kromosom dalam sel gamet manusia
ialah 23.
- Mitosis ditakrifkan sebagai proses pembahagian nukleus sel induk menjadi
dua sel anak dengan setiap nukleus anak mengandungi bilangan kromosom dan
kandungan genetik yang seiras dengan bilangan kromosom dan kandungan genetik
nukleus sel induk.
- Melalui mitosis, nukleus sel anak yang baru terbentuk akan mempunyai kromosom
yang seiras dan dengan itu kandungan gen yang serupa seperti yang dipunyai
oleh nukleus induk. Bilangan kromosom yang sama seperti sel induk juga dikekalkan
dalam sel anak.
- Jadi pembahagian sel secara mitosis menjamin sel anak yang terbentuk seiras
dengan sel induk dan ciri ini penting bagi memastikan sel yang terhasil tidak
mengalami sebarang perubahan dari segi kandungan genetik dan bilangan kromosom
dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
- Mitosis pada tumbuhan berlaku secara aktif di tisu meristem di hujung akar
(meristem akar) dan di hujung pucuk (meristem apeks). Sel meristem juga terdapat
di hujung mata tunas ketiak, mata tunas pucuk, kambium vaskular dan kambium
gabus (meristem gabus).
- Pembahagian sel yang pesat di sel-sel meristem membolehkan tumbuhan membesar
dan memanjang dengan cepat.
- Pertumbuhan pada haiwan berlaku di seluruh badan dan bukan terhad di kawasan
tertentu seperti pada tumbuhan.
- Kulit manusia mempunyai satu lapisan Malphigi yang mengalami mitosis bagi
menghasilkan sel kulit yang baru untuk menggantikan sel yang cedera dan mati.
Lapisan Malphigi juga menambah luas permukaan kulit semasa proses pertumbuhan
berlaku.
Menu Utama